Kemerdekaan dan pembentukan Malaysia Ketuanan_Melayu

Kemerdekaan dan Perlembagaan

Persekutuan Tanah Melayu secara rasmi merdeka dari Empayar British pada 31 Ogos 1957. Perlembagaan negara baru ini mengandungi peruntukan-peruntukan seperti Perkara 153 yang menjamin keistimewaan-keistimewaan tertentu untuk kaum Melayu dalam bentuk tindakan afirmatif. Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan itu menyatakan bahawa Perkara 153 itu bersifat sementara dan harus dikaji semula oleh Parlimen selepas 15 tahun merdeka.[48] Bagaimanapun, Perlembagaan sendiri tidak menyatakan yang demikian terang-terang mahupun memperjelaskan tujuan Perkara 153. Namun, ia ada mengatakan bahawa semua rakyat Malaya adalah sama-rata di bawah undang-undang tanpa menyebut "kedaulatan Melayu" atau sebarang gagasan lain yang bersangkut-paut dengan ketuanan Melayu. kewarganegaraan Jus soli iaitu pemberian kewarganegaraan kepada sesiapa yang lahir di dalam Persekutuan, turut diberikan namun tanpa kesan retrospektif; ia merupakan sebuah pampasan besar oleh kaum Melayu yang dahulu kuat menentang kewarganegaraan jus soli dalam Malayan Union.[49]

Di sebalik itu, Bahasa Melayu dan Islam menjadi bahasa kebangsaan dan agama rasmi sementara Raja-Raja Melayu kekal bertakhta. Ini dikatakan bererti bahawa orang Melayu diberi hormat sebagai bangsa Tanah Melayu yang tersahih, iaitu menjadi warga Tanah Melayu disamakan dengan menjadi orang Melayu, maka Tanah Melayu berjatidirikan Melayu di depan mata dunia.[50] Seorang ilmuwan berhujah bahawa "Orang Melayu menyimpan kepercayaan berakar umbi bahawa mereka sahaja kaum bumiputera, iaitu anak watan, dan oleh itu memegang hak-hak istimewa tertentu ke atas tanah." Sesungguhnya, Tunku Abdul Rahman berkata pada tahun 1964 bahawa "Sudah umum diketahui bahawa negara ini atas nama, tradisi dan ciri-cirinya sahaja adalah Melayu. ... Di mana-mana negara lain di mana pendatang asing cuba menguasai bidang ekonomi dan sebagainya, sudah tentu ada tentangan yang hebat daripada kaum peribumi. Tetapi lain pula kaum Melayu. Oleh itu, sebagai balasan, mereka mesti menghargai kedudukan Melayu..."[36] Pernah dihujahkan bahawa jati diri kebangsaan Malaysia tidak menjadi kerana "kesemua lambang kebangsaan di Malaysia berasal dari tradisi Melayu".[51]

Kekangan Perlembagaan ke atas besar kecil kawasan Parlimen luar bandar kemudiannya ditarik balik untuk menyediakan apa yang dikatakan sebagai suatu "penyangga tak langsung" kepada hak istimewa Melayu; oleh sebab orang Melayu tertumpu pada kawasan luar bandar, maka kuasa politik Melayu dipertingkat secara tidak langsung. Perlembagaan asalnya mengikut prinsip "satu orang satu undi" secara tersirat. Pindaan ini dikutuk sebagai "memberi satu orang satu undi, dan seorang lagi beberapa undi, bukan atas dasar keupayaan intelek atau kendalian geografi, sebaliknya untuk memastikan dominasi kumpulan tertentu."[52]

Peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang bergelar "Agenda Melayu" ini kurang membangkitkan sentimen dalam kalangan bukan Melayu walaupun kebanyakan mereka menerima kewarganegaraan dan oleh itu secara teorinya setaraf dengan rakyat Melayu di bawah Perlembagaan. Ini mungkin disebabkan oleh penerimaan kontrak sosial yang diulas oleh seorang ahli sejarah sebagai berikut: "Dalam golongan atasan, orang bukan Melayu menerima bahawa orang Melayu lebih tinggi dari segi politik atas dasar taraf peribumi mereka dan bahawa tatanegara Malaysia hendaklah bercirikan Melayu ... kaum Melayu hendaklah dijamini majoriti yang selesa di dewan undangan negeri dan parlimen persekutuan sekali gus ... orang Melayu hendaklah menguasai jawatan-jawatan tertinggi dalam kerajaan dan ... menguasai ahli-ahli jemaah menteri persekutuan." Seorang ahli sejarah Melayu, Milton J. Esman pernah bertulis, "Sebagai balasan, masyarakat Cina memperoleh lebih daripada yang pernah diidam-idamkan oleh masyarakat di Asia Tenggara, iaitu kewarganegaraan yang sama-rata, penyertaan dalam politik serta memegang jawatan, peluang dalam ekonomi yang tidak terbatas, dan toleransi untuk bahasa, agama dan institusi-institusi budaya mereka."[53]

Sesetengah pihak meluahkan rasa khuatir terhadap Perkara 153; sejurus sebelum kemerdekaan, akhbar China Press menyarankan bahawa hak istimewa "boleh dimaafkan pada awal pembangunan negara," dan jika "tempoh 'hak istimewa' itu tidak terbatas, ataupun skop hak istimewa itu tidak ditakrifkan dengan jelas, maka perselisihan tanpa henti ... akan timbul lama-kelamaan." Hujahnya, hak istimewa ini lama-kelamaan akan memecahbelahkan, bukan menyatukan rakyat Malaya.[54] Sungguhpun demikian, sesetengah ahli sejarah berhujah bahawa ketika kemerdekaan, "sememangnya terdapat semangat kewarganegaraan, aspirasi, dan takdir yang dikongsi bersama."[55] Hal ini tidak berkekalan.

Pergabungan

Pada tahun 1961, apabila kerajaan Malaya mula membincangkan kemungkinan bergabung dengan jiran-jiran Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei, timbulnya semula masalah hubungan kuasa sesama etnik. Gagasan "Malaysia" tanpa Sabah dan Sarawak telah dibincangkan lebih sedekad sebelum ini, namun perundingan dahulu tidak membuahkan hasil. Rakyat Singapura sendiri tidak bimbang akan diperintah oleh apa yang mereka anggap sebagai kerajaan Melayu.[56] Bagaimanapun, sekitar tahun 1961, Singapura semakin menyambut baik cadangan untuk menyertai Malaysia, terutama disebabkan pandangan umum ketika itu bahawa Singapura yang berasas industri tidak boleh bertahan tanpa dapat memasuki pasaran Tanah Melayu.[57]

Kerajaan Malaya ketika itu tidak berapa senang dengan pertambahan penduduk Cina dari Singapura hingga melebihi jumlah penduduk Melayu dan menjadikan Melayu sebagai kaum minoriti di Malaysia yang baru. Ramai orang Melayu khuatir bahawa kedudukan mereka akan tergugat seandainya penguasaan Melayu dalam angkatan polis dan tentera turut tergugat. Juga didakwa bahawa kerendahan taraf ekonomi Melayu akan ditekankan oleh kemasukan lebih ramai Cina kaya hingga boleh menyebabkan ketidakpuasan hati beramai-ramai.[58] Maka pihak Malaya mengambil keputusan untuk menyelesaikan hal ini dengan bergabung dengan Sabah dan Sarawak, iaitu dua buah tanah jajahan British yang diduduki ramai penduduk pribumi yang dianggap "Melayu" oleh kerajaan. Mengikut Perkara 160 Perlembagan Persekutuan, kebanyakan peribumi Sabah dan Sarawak itu bukan Melayu, sebaliknya menganut kepercayaan animis atau Kristian dan bukan Islam seperti yang termaktub. Untuk menyelesaikan isu ini, kerajaan memperluas takrifan tak rasmi "Melayu" untuk mencakupi kaum-kaum berkenaan.[59]

Penduduk Sabah dan Sarawak tidak memahami apa faedah daripada pergabungan ini. Ramai yang menganggap Malaya sebagai hanya untuk orang Melayu, dan mereka tidak mengaku diri sebagai Melayu. Bayang-bayang "Malaysia", iaitu rasa takut akan dikira sebagai "Melayu", dengan Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi langsung tidak meredakan kerunsingan mereka akan "dominasi Melayu". Untuk menerima pergabungan itu, mereka menuntut supaya peribumi Sabah dan Sarawak diberi keistimewaan yang sama dengan Melayu.[60] Kemudian, dipersetujuinya perjanjian 20 perkara antara kerajaan Sabah dengan Malaya, dan juga perjanjian 18 perkara yang seumpamanya oleh Sarawak. Setelah lama berunding serta sokongan British terhadap pergabungan itu, maka pecahnya kebuntuan. Biarpun peribumi Borneo tidak diberi keistimewaan Melayu, namun pergabungan terlaksana pada 16 September 1963.

"Malaysian Malaysia!"

Rencana utama: Malaysian Malaysia

Dalam pilihan raya negeri Singapura 1963, Perikatan mencabar parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PETIR atau PAP) menerusi Parti Perikatan Singapura. Ahli-ahli UMNO giat berkempen di Singapura untuk Perikatan Singapura dengan hujah-hujah bahawa Melayu Singapura dilayan seperti warga kelas kedua di bawah kerajaan PAP yang dikuasai Cina tetapi kelihatan berbilang kaum. Bagaimanapun, kesemua calon Melayu yang disokong UMNO kalah kepada PAP. Ahli-ahli PETIR yang menganggap hal ini sebagai pencabulan terhadap perjanjian dengan Perikatan terdahulu agar masing-masing tidak bertanding di pilihan raya Malaya and Singapura, maka mereka mengambil keputusan untuk bertanding di tanah besar pada pilihan raya umum 1964. Sungguhpun PETIR telah menarik ramai penyokong di perhimpunan-perhimpunannya, namun ia hanya memenangi satu kerusi, iaitu Bangsar menerusi Devan Nair. Sesentegah ahli sejarah menyangka bahawa rayuan Presiden MCA ketika itu, Tan Siew Sin kepada kaum Cina supaya tidak mencabar hak istimewa Melayu hingga membolehkan negara bergabung dengan Indonesia, membantu MCA untuk merampas kembali tarafnya sebagai "pemimpin Cina yang tidak tercabar di semenanjung Malaya".[61] Sungguhpun begitu, para pemimpin UMNO berang sekali dengan tindakan PAP.[62][63]

Lee Kuan Yew selaku ketua kerajaan Singapura terang-terangan menentang ketuanan Melayu dan menganjurkan gagasan "Malaysian Malaysia".

Tidak lama kemudian, timbulnya masalah-masalah baru. Lee Kuan Yew selaku ketua kerajaan Singapura dan PETIR terang-terangan menentang ketuanan Melayu, dan menyeru supaya dipeluknya gagasan "Malaysian Malaysia" sebagai ganti untuk Malaysia Melayu.[45] Beliau berhujah bahawa "Orang Melayu mula berhijrah ke Malaysia secara beramai-ramai sekitar 700 tahun dahulu sahaja. Dalam kalangan orang Melayu di Malaysia sekarang, kira-kira satu pertiganya merupakan pendatang yang agak baru seperti Syed Jaafar Albar yang datang ke Tanah Melayu dari Indonesia sejurus sebelum zaman pertang pada usia 30 tahun lebih. Oleh itu, adalah salah dan tidak masuk akal untuk sesebuah kelompok kaum tertentu menyangka dirinya lebih wajar bergelar rakyat Malaysia sedangkan kaum lain boleh menjadi rakyat Malaysia atas restu mereka [Melayu] sahaja."[64]

Lee kemudiannya merintih: "Malaysia — milik siapa? Milik rakyat Malaysia. Tetapi siapakah rakyat Malaysia? Harap saya begitu, Tuan Yang Dipertua. Namun dalam duduk di dewan ini, kadang-kadang saya ragu-ragu sama ada diri saya boleh digelar rakyat Malaysia. Demikianlah keraguan yang menyelubungi fikiran ramai, dan ... [sebaik sahaja] perasaan hati digerakkan, dan timbulnya perbalahan antara kaum atas kata-kata yang tidak terucap itu, maka akan timbulnya peperangan yang akan memecahbelahkan seluruh bangsa dan meleraikan Malaysia."[65] Bagaimanapun, Lee juga memburukkan keadaan dengan membuat kenyataan perkauman sendiri. Kebanyakan ucapan beliau menyentuh perkadaran kaum di Malaysia dengan mengingatkan pendengar bahawa bukan Melayu sudah menjadi majoriti dengan 61% penduduk berbanding Melayu pada 39% sambil bertanya seketika, "Mengapakah harus kita kembali ke Singapura yang lama dan sekali lagi mengurangkan bilangan bukan Melayu di Malaya kepada minoriti?"[66] Lee memburukkan lagi kekeruhan hubungan PETIR-UMNO dengan acap kali mendesak supaya kerajaan persekutuan menghukum 'ultras' mereka yang termasuk pemimpin tertinggi UMNO seperti Syed Jaafar Albar dan Syed Nasir Ismail.[67][68]

Kenyataan Lee itu memarahkan ramai pihak, terutamanya ahli politik Perikatan. Tan Siew Sin menggelarnya "kuasa pengacau yang terhebat dalam seluruh sejarah Malaysia dan Malaya."[69] Tunku menganggap pandangan Lee terlalu melampau, sementara lain-lain ahli UMNO berpendapat bahawa Lee sekadar memuaskan hati masyarakat Cina Malaysia dengan retoriknya.[70] Kenyataan Lee tentang penghijrahan Melayu yang agak lewat dibidas dengan pedas; ujar Syed Jaafar: "Adalah satu penghinaan untuk mengatakan bahawa Melayu sekelompok dengan kaum-kaum lain..." Pesan akhbar UMNO Malaya Merdeka, jika Melayu tertekan dan kepentingan mereka tidak dibela, Malaysia akan digabungkan dengan Indonesia.[71] Demikianlah yang paling dikhuatiri oleh Tunku Abdul Rahman yang berhemat bahawa pelampau sebenar bukanlah puak ultra, sebaliknya mereka yang mengidami gagasan "Melayu Raya" untuk "menyelesaikan" kaum Cina selaku ancaman sebenar.[72]

Ketegangan hubungan sesama kaum menyebabkan rusuhan pada tahun 1964[63] yang kemudiannya diangin-anginkan oleh ahli PETIR Melayu, Othman Wok sebagai dirancang terlebih dahulu oleh puak ultra.[73] Pada tahun selepas rusuhan, ketegangan masih memuncak. Syed Jaafar Albar mengujar bahawa "Di mana saya berada, saya tetap Melayu", lantas dibalas dengan bidasan pedas oleh Lee yang berucap di Parlimen dengan demikian, "Jika saya ke sana sini mengulangi kata-katanya — di mana saya berada, saya tetap Cina — ke mana hala tuju kita? Tapi saya sentiasa mengingatkan rakyat bahawa saya orang Malaysia. Saya sedang belajar bahasa kebangsaan dan saya menerima Perkara 153 Perlembagaan."[74]

Lee bertegas bahawa beliau tidak menentang hak istimewa Melayu atau Perkara 153 dengan berkata: "Jika kaum-kaum imigran ... tidak nampak masalahnya, jika mereka tidak memahami perasaan Melayu yang miskin, dan oleh itu tidak kasihan padanya, maka boleh saya katakan, tidak lama lagi dia akan meluahkan perasaan tidak puas hatinya dalam cara yang amat tegas hingga seluruh negara menjadi huru-hara."[75] Tidak ramai dalam kalangan Perikatan yang mengambil berat dakwaannya itu. Para ahli UMNO bertegas bahawa "Malaysian Malaysia" membayangkan ketidaksamarataan sama sekali ekorn gugurnya keistimewaan Melayu.[76] Senu Abdul Rahman, seorang Menteri persekutuan berpendapat bahawa laungan kesamarataan Lee akan menutup peluang kepada Melayu untuk menceburi ekonomi: "Kami meminta peluang, iaitu pelang untuk beroleh kekayaan ekonomi untuk orang-orang kami." Dengan mengecam Lee atas kenyataan bahawa beliau rakyat Malaysia atas usahanya sendiri, Senu bertanya: "Hak yang dinikmati oleh Lee hari ini tidak jatuh dari langit atau dari entah mana, sebaliknya dikurniakan padanya. Adakah beliau tidak sedikit pun berasa terima kasih kepada kaum peribumi negara ini?" Balas Lee: "Tidak, saya tidak menikmati layanan baik oleh sesiapa. Saya di sini mengikut hak. Dan 61 peratus rakyat Malaysia harus menerimanya, jika tidak ia hilang. Tanpanya, mereka tentu tiada masa depan."[77] Sesetengah pihak seperti Syed Jaafar Albar melanjutkan pendirian Senu dan menggelar orang Melayu, sebagai Bumiputra dan "tuan rumah" yang layanan baiknya disalah oleh "bangsa asing" atau "orang tumpangan" seperti Lee. Ini mencetuskan balasan dari ahli Jemaah Menteri, Lim Swee Aun yang bertegas bahawa "kami tuan bersama, bukan orang tumpangan, bukan tamu."[78][79]

Ada juga yang tidak sehaluan dengan pandangan umum dalam UMNO. Ismail Abdul Rahman berucap di Parlimen bahawa "...kedua-dua pihak Perikatan dan PETIR berpegang pada gagasan Malaysian Malaysia," cuma berlainan caranya. Ismail menyifatkan pendirian PETIR sebagai "leraikan perkauman serta-merta," sementara Perikatan menuntut "dua langkah. Pertama, keharmonian sesama kaum; kedua, keadaan tanpa perkauman yang mutlak." Kenyataan demikian dibidas oleh Lee sebagai omong-omong kosong yang tidak dapat dipandang berat melainkan puak ultra dikawal.[80][81]

Pemisahan

Lee meneruskan kempennya dengan membentuk Majlis Solidariti Malaysia (MSC) yang terdiri daripada parti-parti berbilang kaum seperti PETIR, Parti Progresif Rakyat (PPP) dan Parti Demokratik Bersatu (UDP) pada tahun 1965. Di satu-satunya sidanfg am MSC, beberapa orang pemimpin parti-parti berkenaan tampil untuk melafazkan sokongan kepada gagasan Malaysian Malaysia. D.R. Seenivasagam dari PPP menuduh Perikatan menyalahgunakan Perkara 153 untuk "menindas bukan Melayu", sementara Ong Kee Hui dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata, "Kita melihat sikap tidak bertolak ansur dan tanda-tanda penidakan kesamarataan politik yang menjadi-jadi terhadap rakyat bukan Melayu. Demi kebaikan negara dan diri kita, hal ini mesti dibanteras dan dikawalnya kecenderungan ke arah perkauman sempit. Kesamrataan politik harus dikurniakan kepada mereka semua yang menetap di sini dan menganggap negara ini sebagai tempat tinggal mereka tanpa mengira asal-usul kaum mereka."[82]

Tidak lama kemudian, ahli parlimen UMNO Mahathir bin Mohamad menyelar Lee di Parlimen: "[Cina di Singapura] tidak pernah mengenal pemerintahan Melayu dan tidak tahan dengan gagasan bahawa golongan yang dikuasai oleh mereka kini harus dapat memerintah mereka."[83] Lee membalas dengan ucapan spontan dalam bahasa Melayu sepenuhnya untuk menentang dasar kerajaan yang pro-Melayu:

"Memang ada jutawan Cina dengan kereta dan rumah besar. Apakah dengan mewujudkan segelintir jutawan Melayu dengan kereta besar dan rumah besar merupakan jawapannya? ... Jika kita mengelirukan rakyat untuk mempercayai bahawa mereka miskin kerana tiada terdapat hak-hak istimewa orang Melayu atau kerana anggota pembangkang menentang hak-hak orang Melayu, apakah yang akan berlaku kepada kita akhirnya? Anda membuat orang-orang kampung percayabahawa mereka miskin kerana tidak bertutur dalam bahasa Melayu, kerana kerajaan tidak menulis dalam bahasa Melayu, jadi mereka mengharapkan satu keajaiban akan berlaku pada tahun 1967 [apabila bahasa Melayu menjadi bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal]. Sebaik-baik sahaja kita semua mula bertutur bahasa Melayu, mereka akan menikmati taraf hidup lebih tinggi, dan jika tidak berlaku apakah jadinya nanti?.....Sementara itu, apabila sahaja terdapat kegagalan dalam dasar-dasar ekonomi, sosial dan pendidikan, anda menoleh dan berkata, oh orang-orang Cina yang jahat ini, orang India dan orang-orang lain telah menentang hak-hak orang Melayu. Mereka tidak menentang hak-hak orang Melayu. Mereka, orang-orang Melayu, mempunyai hak sebagai rakyat Malaysia untuk mendaki ke paras yang lebih tinggi dalam latihan serta pendidikan yang telah melahirkan masyarakat bukan Melayu yang lebih berdaya saing. Bukankah ini yang sepatutnya di lakukan? Bukan dengan menyogok mereka dengan doktrin-doktrin kabur bahawa apa yang mereka perlu lakukan ialah dengan mendapatkan hak-hak bagi segelintir orang Melayu istimewa dan dengan itu segala masalah mereka akan terhurai."[84][85]

Lama-kelamaan, Tunku Abdul Rahman serik dengan segala perbalahan ini dan berasa yakin bahawa sebarang percanggahan retorik yang selanjutnya hanya akan berkesudahan dengan keganasan, lalu meminta Singapura supaya berpecah. Singapura menjadi negara merdeka pada tahun 1965 dengan Lee sebagai Perdana Menteri pertama.[86] Biarpun Perkara 152 Perlembagaan Singapura menyebut orang Melayu sebagai "peribumi" Singapura serta memandatkan perlindungan istimewa buat hak dan keistimewaan mereka, namun ia tidak menetapkan sebarang dasar untuk tujuan itu.

Sesetengah pihak mendakwa bahawa pembentukan Malaysia menguatkan ketuanan Melayu: "Pemerkasaan hak Melayu yang beransur layu dalam lima atau enam tahun [sebelum pembentukan Malaysia] seperti yang dikhuatiri oleh Suruhanjaya Reid, berlaku di sebalik layanan tidak sama rata yang umum" selepas terbentuknya Malaysia.[87]

Rujukan

WikiPedia: Ketuanan_Melayu http://www.aliran.com/high9902.html http://www.aliran.com/monthly/2005b/7d.html http://atimes.com/atimes/Southeast_Asia/FJ02Ae05.h... http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/printable.php... http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cac... http://www.jeffooi.com/2006/10/equity_share_is_rac... http://www.jeffooi.com/archives/2005/08/the_nst_sh... http://www.jeffooi.com/archives/2005/08/we_are_16_... http://www.jeffooi.com/archives/2005/11/i_went_int...